Novel – Musim ceria

November 27, 2006 at 7:31 pm | Posted in Pengumuman Penting | 5 Comments

Kisah Victoria

Bilik pengawas tengah ha-ri itu tenang. Mesyuarat pengawas yang diadakan seminggu sekali akan berlangsung tidak lama lagi. Semua pengawas sudah bersedia dengan laporan tugas mereka. Hanya Cikgu Zainal sahaja yang belum tiba.

Mohd Haikal, ketua pengawas sekolah sedang meneliti laporan anak-anak buahnya. Dialah yang akan membentangkan laporan itu nanti kepada guru disiplin.

“Apa yang kamu tulis ini, Victoria?!” tiba-tiba Mohd Haikal bersuara.

Victoria diam. Wajahnya berubah menjadi kemerah-merahan. Matanya memandang rakan-rakan lain.

“Apa ni? Kenapa pula perkataan benci ini diulang-ulang?” tambah Mohd Haikal. Suasana menjadi riuh seketika. Suara pengawas lain mula terdengar. Mereka tertarik dengan kata-kata ketua mereka.

Victoria tidak menjawab walau sepatah pun. Di wajahnya tergambar bayangan kegelisahan.

“Minta balik buku itu,” kata Victoria. Dia lantas bangun dan bergerak ke arah Mohd Haikal.

Victoria merampas buku laporan pengawas itu dari tangan ketuanya. Dia berjalan dengan pantas meninggalkan bilik mesyuarat merangkap bilik pengawas itu. Ketika dia melewati pintu, kelibat Cikgu Zainal muncul tidak jauh daripada tangga Blok B. Victoria tidak menghiraukan guru itu. Dia terus berlari menuju ke asrama.

“Apa hal dengan Victoria?” tanya Cikgu Zainal sebaik sahaja meletakkan begnya di atas meja.

“Entah…!! Tiba-tiba sahaja dia berlari meninggalkan mesyuarat,” jelas Mohd Haikal.

“Maaf Cikgu, sebenarnya Victoria kurang sihat hari ini,” Elly sengaja mententeramkan keadaan. Dia tahu rakannya itu ada masalah. Biasanya Victoria tidak pernah ponteng mesyuarat.

Di asrama, Victoria masih tidak mahu bercakap. Elly cuba memujuknya untuk menceritakan masalahnya. Kata Elly, Victoria tentu ingat nasihat kaunselor sekolah. Menurut kaunselor, jika seseorang ada masalah, dia mesti mencari seseorang untuk mendengar masalahnya. Jika masalah itu tidak diluahkan, lama kelamaan masalah itu akan diluahkan dengan cara yang negatif.

“Apa masalah awak Victoria?” tanya Elly dengan lembut.

“Tak ada apa-apa..!! Aku cuma kurang sihat,” jawab Victoria, endah tak endah.

“Aku tahu kau ada masalah,” Elly masih mendesak. Victoria tidak pernah menyembunyikan apa-apa daripada pengetahuannya.

“Elly, aku kecewa…!!” tiba-tiba Victoria bersuara setelah berdiam diri buat seketika.

“Tapi, mengapa?!” Elly semakin tidak sabar untuk mengetahui punca kekecewaan rakan sebiliknya itu.

“Sepatutnya aku yang menghadiri kursus kepimpinan tempoh hari. Kalau Cikgu Zainal pilih orang lain, aku tidak kecewa sangat. Tapi apabila Sahar yang dipilih, aku berasa dia merampas peluang aku,” Victoria melepaskan perasaannya.

“Aku pun setuju dengan kau Victoria. Lagipun, kursus kepimpinan itu lebih sesuai untuk pengawas macam kita. Kenapa pula Sahar yang dipilih oleh Cikgu Zainal?” Elly menyebelahi Victoria. Tindakan itu telah melegakan Victoria. Sekurang-kurangnya, ada orang yang bersetuju dengannya.

“Kau tengoklah Sahar tu. Lepas balik kursus bukan main berlagak lagi. Aku tengok dia dengan perempuan baru tu bukan main akrab lagi,” jelas Victoria.

“Budak baru?” tanya Elly seolah-olah tidak mengetahui perkembangan. Pada hal dia sendiri melihat betapa mesranya Sahar mengangkat meja dengan Farah.

“Kau tak tahu ke?” pandangan Victoria tepat ke wajah Elly.

“Kau cemburu ke?” tanya Elly kembali. Dia tahu Victoria memang mengagumi Sahar. Namun ada beberapa peristiwa yang menyebabkan dia bersikap dingin dengan Sahar, rakan sekampungnya itu.

“Cemburu?!! Tolong sikit…!” Victoria menjawab endah tak endah sambil mencemikkan bibirnya.

Suasana diam seketika. Elly hanya tersenyum melihat telatah Victoria. Sebenarnya, dahulu Victoria memang baik dengan Sahar. Pergeseran mereka bermula di kampung lagi. Bapa Victoria dan bapa Sahar bertelingkah kerana berbeza pendapat. Bapa Victoria tidak berpuas hati dengan pampasan yang dibayar oleh syarikat yang mengambil tanah mereka. Menurut bapa Victoria, rumah yang didirikan untuk mereka terlalu sempit. Tanah yang diberikan juga tidak memenuhi tuntutan mereka.

Sebagai Batin iaitu ketua penduduk di kampung, bapa Sahar tidak bersetuju dengan tindakan bapa Victoria. Dia menasihati supaya mereka berunding dan tidak bertindak secara terburu-buru. Menurut Batin Hitam, rumah mereka kini cukup selesa. Hanya orang yang tidak tahu menjaga persekitaran yang berasa mereka teraniaya.

Sejak itu Victoria berasa keluarga Sahar memusuhi keluarganya. Tambahan pula Sahar sedang berusaha untuk memperkenalkan budaya masyarakat mereka kepada umum. Namun usaha ini ditentang oleh bapa Victoria. Katanya perkara tersebut melanggar pantang larang keturunan mereka.

Victoria, walaupun berfikiran terbuka dalam banyak hal, tetapi dia terpengaruh juga dengan bapanya. Kata bapanya, Sahar telah merosakkan budaya mereka dengan membawa orang luar untuk melihat budaya hidup masyarakat mereka. Victoria juga satu ketika cuba membawa rakannya untuk bergaul dengan bangsa lain. Akan tetapi dia dianggap sebagai membawa pengaruh negatif pula kepada anak-anak gadis kampung.

Dalam keadaan bercelaru itu, hubungan Victoria dengan Sahar semakin dingin. Lebih-lebih lagi apabila Sahar menolak untuk belajar dalam aliran sains. Victoria mula memandang rendah kepadanya walaupun semasa dalam tingkatan tiga mereka sering mengulang kaji pelajaran bersama-sama.

“Hai, termenung jauh nampak…!!” tiba-tiba Elly bersuara. Suara Elly itu mematikan lamunan Victoria.

“Apa yang kau fikirkan?” tambah Elly.

“Aku bersalah dengan Cikgu Zainal dengan sikapku siang tadi,” kata-kata Victoria perlahan sekali. Ternyata dia mula menyesali tindakannya meninggalkan mesyuarat.

“Bagus! Mengakui kesilapan merupakan sifat yang mulia. Besok ikut aku. Kita jumpa Cikgu Zainal untuk minta maaf,” Elly membuat keputusan.

Bersambung…

5 Comments »

RSS feed for comments on this post. TrackBack URI

  1. alhhh !!
    x bezt larh c0z xdew cmbungn nye ..😦
    anew nx g0x c0ntinue thiz ct0ry ?? !
    awp2 c0ntinue nye ku0 cpt mgken . .
    btw great ct0ry🙂 ……….. .

  2. saya suka ini novel

  3. sngt menarik dan terbaek….

  4. best lorh

  5. menark……….(Y)🙂


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Create a free website or blog at WordPress.com.
Entries and comments feeds.

%d bloggers like this: