Cerpen – Hani

November 27, 2006 at 7:25 pm | Posted in Pengumuman Penting | 3 Comments

“Mama, cepat datang!” Suara Hani cemas.

“Kenapa ni?” tanya Kartika bimbang di hujung talian.

“Datang sekarang. Cepat, mama!” gesa Hani. Panggilan diputuskan. Panggilan Kartika seterusnya tak berjawab. SMS Kartika juga tak berbalas.

Setengah jam kemudian, bunyi kereta masuk ke halaman. Hani berlari memeluk Kartika. Kartika tahu pasti ada sesuatu berlaku. Hani tak suka menyusahkan orang. Malah gadis kecil itu menolak untuk dicarikan pembantu rumah sepenuh masa. Cukup pembantu yang datang dua kali seminggu. Mungkin kerana itulah Hani akrab dengan papanya.

“Papa jatuh tiba-tiba. Dia di bilik.” Hani dan Kartika berjalan laju ke bilik utama.

“Kenapa ni?” tanya Kartika cemas melihat Sofian berbaring di katil. Mukanya pucat, bibirnya kebiruan. Sebuah mangkuk dan sehelai tuala basah terletak di meja sisi.

“Papa pitam masa kami bergurau tadi,” kata Hani yang duduk di sisi papanya. Tuala basah dicapai. Wajah Sofian dilap dengan penuh kasih sayang.

“Jangan risau, sikit je. Saya penat sangat, kurang tidur.” Sofian senyum lemah.

Kartika diam. Hatinya sebak melihat Hani yang begitu takut kehilangan Sofian. Kartika faham kerana dia pernah kehilangan ayah pada usia yang sangat muda. Mata Kartika berkaca. Kalaulah dia tidak berpisah dengan Sofian. Kalaulah mereka berfikir panjang dulu… Kartika keluar, menuju ke dapur.

Sebentar kemudian, Kartika masuk ke bilik menatang sebuah teko dan dua biji cawan lalu meletakkannya di atas meja sisi. Milo suam dituang, ditunjukkan kepada Hani. Hani menyua ke mulut Sofian yang kemudian duduk bersandar ke kepala katil. Sofian diajak ke klinik tapi dia menolak.

“Hani panik tadi. Hani telefon mama. Maaf, papa.”

“Apa pun terjadi, Hani tetap anak mama. Mama ke dapur,” kata Kartika.

“Papa berehatlah. Hani picit tangan papa. Jangan fikir apa-apa lagi. Kalau ada orang telefon, biar Hani jawabkan.”

“Baiknya anak papa yang comel ni,” usik Sofian.

“Tadi tangan papa sejuk betul. Sekarang dah tak sejuk sangat. Hani takut papa tinggalkan Hani seorang-diri,” tangis Hani sambil mencium tangan Sofian.

“Jangan fikir bukan-bukan. Takkan papa sanggup tinggalkan Hani. Lagipun mama kan ada. Hidup lawannya mati. Papa dah ajar Hani jadi kuat. Mesti tabah.”

“Hani tahu tu tapi Hani tiba-tiba hilang arah tadi. Bila mama datang, lega rasanya. Sekarang, Hani picit kaki papa. Papa tidurlah.”

Kartika masuk. Melihatkan Sofian yang terlena, Kartika memberi isyarat kepada Hani supaya keluar.

“Mama dah masakkan bubur ayam untuk papa. Hani nak mama masak atau belikan apa-apa?”

“Tak payah. Hani dah lama tak makan bubur ayam yang mama masak.”

“Sekejap lagi mama balik. Esok mama datang jika papa belum sihat.”

Esok, Hani bangun awal. Milo panas dan sup sayur sudah tersedia di meja makan ketika Sofian bangun.

“Wah, pandainya anak papa. Terima kasih.” Sofian duduk bersarapan.

“Sama-sama. Papa tak payah kerjalah hari ni.”

“Baik, Cik Hani,” usik Sofian sambil mencuit hidung Hani.

Kartika tiba sepuluh minit sebelum pukul 10.00 pagi. Hani berlari menyam-butnya. Sofian masih di meja makan.

“Selamat pagi. Macam mana hari ni?” sapa Kartika sambil membasuh oren dan epal yang dibawanya tadi.

“Dah hilang pening tapi lemah betul badan ni.”

“Berehatlah. Saya dah beritahu guru kelas Hani yang dia cuti hari ni. Saya dah maklumkan ke pejabat awak,” kata Kartika.

“Esok mama datang?” Hani memandang penuh harap.

“Belum tentu lagi.”

“Datanglah tengok papa. Kesian dia. Selagi papa belum betul sihat, Hani tak dapat balik ke rumah mama hujung minggu ni.”

“Mama faham. Mama tak boleh datang ke sini selalu. Tak manis dilihat orang.”

Kening Hani berkerut. Kartika ibunya. Sofian ayahnya. Mereka tetap sekeluarga. Pedulikan kata orang. Walaupun ibunya berkahwin lain tetapi tidak ada salahnya jika Kartika selalu menjenguk mereka. Memang Hani petah berkata-kata tapi belum cukup dewasa untuk memahaminya.

“Mama dah banyak berubah…,” rungut Hani.

Kartika memeluk Hani sebelum pulang tapi Hani membatukan diri. Kartika menggenggam tangan Hani. Sesudah mencium tangan Kartika, dengan senyum paksa, Hani melambai sambil memerhatikan mamanya yang hilang dalam ngauman Perdananya.

Dua minggu berlalu. Sofian kian sihat, sibuk dengan tugas di pejabat. Malam itu malam Jumaat. Sofian dan Hani membaca Yasin. Kata Sofian, untuk arwah datuk dan nenek Hani serta semua orang muslim yang telah kembali ke alam kekal. Jika Sofian tidak lewat pulang, itulah rutin mereka. Hani lihat papanya memejam mata, bersungguh-sungguh membaca doa. Hani tahu papa anak yang baik. Dua bulan lepas, papanya begitu gembira setelah mengupah orang mengerjakan haji untuk kedua-dua ibu bapanya.

“Lusa kita bercuti ke Mersing,” kata Sofian memandang Hani.

“Yahoo! Seronoknya!” Telah lama Hani mengimpikan saat itu.

“Papa terlalu banyak menghabiskan waktu untuk bekerja. Ada kala, untuk datang ke majlis di sekolah Hani pun tak sempat. Papa rasa nak habiskan hayat dengan anak kesayangan papa. Telefon mama, beritahu dia,” kata Sofian sambil mencubit pipi Hani.

Kartika sedang bersiap ke salonnya ketika Hani menelefon empat hari kemudian.

“Kami baru pulang dari Mersing. Papa pengsan!” suara Hani cemas.

“Hani panggil jiran sementara mama datang.”

Farid, suaminya yang kebetulan pulang makan tengah hari menghantar Kartika. Tubuh Kartika menggigil, risau memikirkan Hani yang menghadapi saat-saat itu sendirian. Selang lima belas minit, Kartika menerima pesanan di telefon bimbit. Sofian dibawa ke Hospital Sultanah Aminah. Ketika kereta Farid menyusuri Pantai Lido Hani menelefon.

“Kami hampir tiba di hospital tapi papa dah tak ada!” Hani tersedu-sedu.

Ketika Kartika membuka mata, Hani, Farid dan beberapa orang jiran Sofian berdiri memandangnya. Hani memeluk dan mencium Kartika.

“Ika pengsan tadi. Ika berehat dulu, biar abang uruskan jenazah Sofian di bilik sebelah. Lepas ni kita ke Bukit Indah, sempurnakan pengkebumian arwah. Hani temankan mama. Berdoa untuk papa,” kata Farid sambil menepuk bahu Hani.

Hani angguk. Dia kehilangan Sofian yang tiba-tiba diserang sakit jantung. Hani tidak mahu Kartika juga direntap dari hidupnya. Tangan Kartika digenggam erat sambil melihat Farid melangkah keluar dari bilik kecemasan. Doa dibacanya dalam titis air mata yang enggan dibendung lagi.

Oleh Yang Rahima dari Bukit Indah, Johor Bahru

3 Comments »

RSS feed for comments on this post. TrackBack URI

  1. pngjrn uwt sy kite pelu mnygngi n mngmbel
    bewt tentg kedue ebu bape kite , wal0w p0n
    mereke dh bepish ..jg memsie2 kn ed0p kitew
    dgn bnyk uwt doce gn parentz etew . .
    syngi parentz etew selagi mereke mceh adew ..
    c0 jdlh ank yg begune n betggjwb .
    bece larh nie cerpen n jd knnye cebagai teladn dn pngjrn🙂
    iZ nIcE tHiZ cT0rY .. :p

  2. sedih sngt cite dia…apa2 pon kita dpt pengajaran nya…

  3. Sedihnye cite dia tadi saya dapat pengajaran dari setiap karangan yang saya baca tapi yang paling best ialah karangan ni penuh dengan simpati


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Blog at WordPress.com.
Entries and comments feeds.

%d bloggers like this: